LPPS Hari Integrity
SAMBUTAN HARI INTEGRITI LEMBAGA PELABUHAN-PELABUHAN SABAH BERSAMA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (MERANGKUMI LEMBAGA PENGARAH, PENGURUSAN DAN KAKITANGAN LEMBAGA PELABUHAN-PELABUHAN SABAH)
Kota Kinabalu, 2 Februari 2023 (Khamis) – Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah telah menganjurkan sambutan Hari Integriti LPPS bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang turut disertai oleh Lembaga Pengarah, Pengurusan dan kakitangan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC).
YBhg Tuan Khairi Alias, Pengurus Besar LPPS dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa pegawai dan kakitangan penjawat awam yang bersifat amanah, bertanggungjawab dan berkhidmat merupakan aset penting terhadap kejayaan sesebuah organisasi dan negara. Di samping itu, menerusi konteks ucapan YBhg Datuk Mohd Jasmin Julpin, Pengerusi LPPS menyatakan bahawa kerajaan negeri amatlah komited dengan pembudayaan kerja berintegriti dan anti-rasuah di semua peringkat Kementerian, Jabatan dan juga agensi-agensi Kerajaan Negeri Sabah. Program ini merupakan inisiatif LPPS dalam pelaksanaan Kerajaan Negeri berkaitan dengan anti-rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.
Terdapat 3 pengisian utama dalam program Sambutan Hari Integriti LPPS pada hari ini iaitu ceramah yang disampaikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sabah, YBhg Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah yang bertajuk “Pembudayaan dan Pengukuhan Budaya Integriti dan Anti-Rasuah”. Diteruskan dengan pengisian kedua iaitu pelancaran Buku Kod Etika Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dan akhir sekali Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Dalam ucapan Pengarah SPRM, beliau telah memberi pujian bahawa rekod LPPS adalah bersih dalam semakan pangkalan data SPRM dalam tempoh dua tahun terkini. Menurut rekod SPRM juga, LPPS adalah agensi pertama dalam Negeri Sabah yang menganjurkan Hari Integriti bersama SPRM pada tahun 2023 ini.
Ceramah yang disampaikan oleh YBhg Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah telah memberi impak yang besar kepada warga LPPS. Pengarah SPRM Negeri Sabah telah menekankan dalam ceramah beliau bahawa semua penjawat awam perlu menjadi seorang pegawai yang berintegriti tinggi dan bebas dari rasuah. Banyak pertanyaan daripada Ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan LPPS mengenai isu penyelewengan dan salah guna kuasa khususnya di kalangan pegawai perkhidmatan awam ketika sesi soal jawab berlangsung. Hal ini menunjukkan warga LPPS sangat komited untuk membanteras jenayah rasuah.
Majlis diteruskan dengan Pelancaran Kod Etika LPPS yang merupakan garis panduan dan piawai berkenaan perilaku dalam organisasi agar bertepatan dengan intipati “BERETIKA, BERINTEGRITI, CEKAP dan AMANAH.” Diakhiri dengan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dipimpin oleh Tuan Alvan Ungkong, diikuti oleh YBhg Datuk Mohd Jasmin bin Julpin, Pengerusi LPPS, YBhg Tuan Khairi Alias, Pengurus Besar LPPS, Ahli Lembaga Pengarah LPPS dan seluruh warga LPPS yang disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Sabah sendiri.
Justeru, program Sambutan Hari Integriti LPPS bagi tahun 2023 ini banyak memberi manfaat dan ilmu pengetahuan kepada seluruh warga LPPS agar menjadi seseorang pegawai perkhidmatan awam yang jujur, amanah, beretika dan penuh berintegriti.
Semoga LPPS terus maju jaya dan bebas daripada rasuah.